KONVENSYEN SKOR A UPKK HATIMURNI 2025
21 Jun 2025 - Kuala Lumpur. Hatimurni - Pusat Pendidikan Islam Swasta telah mengadakan Konvensyen Skor A Hatimurni 2025 yang telah dihadiri oleh 1,000 peserta di Grand Ballroom, B2 Menara Felda, Kuala Lumpur.
Konvensyen ini diadakan khas untuk ibu bapa yang mempunyai anak berusia 10 dan 11 tahun dengan objektif utama untuk memberi kesedaran kepada ibu bapa tentang kepentingan Ujian Peperiksaan Kelas KAFA (UPKK) yang diadakan setiap tahun khas untuk anak-anak tahun 5.
Selain itu, objektif utama konvensyen ini juga adalah untuk membantu ibu ayah lebih jelas tentang hala tuju UPKK, bagaimana ia dapat membantu kecemerlangan anak-anak dan bagaimana ibu ayah dapat membantu anak-anak Skor A dalam 9 subjek utama UPKK.
Konvensyen ini juga telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Bin Haji Mokhtar - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), sebagai tanda sokongan yang Berhormat kepada usaha kecemerlangan UPKK ini.
Antara acara utama dalam Konvensyen ini juga ialah Sesi Forum - Kepentingan & Hala Tuju UPKK yang dikendalikan oleh Daie Fuad sebagai moderator dengan panel forumnya terdiri dari Tuan Syed Fahmi Akmal Bin Syed Isa - Penolong Pengarah (Unit Pengurusan Kurikulum Bahagian Pelajaran JAWI) serta Tuan Misron Bin Ali - Penolong Pengarah ADNI Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Diikuti dengan penyampaian hadiah kepada 61 pelajar yang cemerlang dalam UPKK pada tahun 2025.
Di dalam dewan berasingan, dalam Konvensyen yang sama - Hatimurni telah menyediakan aktiviti khas untuk pelajar-pelajar berusia 10-11 tahun yang hadir termasuklah aktiviti motivasi bersama Dr Haji Tengku Asmadi, Wheel Of Upkk, Sesi Mind Mapping Sirah Nabi dan pelbagai aktiviti lagi.
Peserta yang hadir juga menerima pelbagai cenderahati termasuk RoadMap UPKK yang merupakan satu jadual lengkap pembelajaran yang boleh dipraktikkan oleh calon-calon UPKK 2025.
Hatimurni yang beroperasi di 6 cawangan - Wangsa Maju, Setiawangsa 1, Setiawangsa 2, Sri Rampai, Melawati dan Seksyen 7, Shah Alam termasuk juga beroperasi secara online telah ditubuhkan semenjak 18 tahun yang lalu, dan pada masa kini mempunyai 1000 pelajar secara offline dan 400 pelajar secara online.
Dengan tagline “Beri Peluang Anak Anda Skor 9A UPKK” - Hatimurni berhasrat untuk membantu 3,000 pelajar untuk bersedia menghadapi UPKK dan Skor 9A UPKK tahun ini.





